Video link: https://fb.watch/a8LzDcq0HO/
Ucapan Perbahasan Perbekalan 2022, Kementerian Pengajian Tinggi peringkat Jawatankuasa oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera YB Wong Hon Wai pada 13-12-2021
Terima kasih Tuan Pengerusi.
Peruntukan untuk Kementerian Pengajian Tinggi telah meningkat dari RM6.85 bilion dari tahun 2020 sebelum pandemik ke RM14.47 bilion tahun 2022, melebihi dua kali ganda. Akan tetapi saya ingin memberikan peringatan, saiz peruntukan yang tinggi sahaja tiada semestinya menjamin kita boleh mencapai sasaran pembelajaran yang kita tetapkan.
Kebanyakan bajet untuk Kementerian Pengajian Tinggi ialah ke atas 20 universiti awam, iaitu RM7.5 bilion dan tujuh hospital pengajar, RM1.48 bilion. Kedua-dua ini ialah 78 peratus daripada perbelanjaan pengurusan.
Butiran 020000 – Pendidikan Tinggi. Tuan Pengerusi, terdapat kekurangan jurutera khasnya dari segi bidang manufacturing dan software development. Walaupun kita mempunyai foreign direct investment, penubuhan kilang-kilang baharu, keperluan jurutera di seluruh negara sudah tidak mencukupi. Tidak mencukupi graduates ataupun lulusan graduan dari segi Science, Technology Engineering and Mathematics (STEM). Mengikut anggaran industri, kekurangan 14,000 orang jurutera di seluruh negara.
Daripada angka tersebut, 6,000 orang di negeri Pulau Pinang.
Kilang-kilang terpaksa membuat recruitment drive ke kampus-kampus di seluruh Malaysia untuk mendapatkan pekerja-pekerja yang berkualiti yang boleh memenuhi keperluan industri.
Industri-industri semi konduktor di Singapura, negara China dan Taiwan ada menawarkan job vacancies untuk tarik jurutera-jurutera di Malaysia untuk bekerja di negara-negara tersebut.
Oleh itu, pada satu pihak kita mendengar Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kementerian Sumber Manusia memberitahu kita, terdapat isu pengangguran, unemployment isu underemployment dari segi graduan tetapi pada satu pihak lagi kita juga mendapati bahawa terdapat supply and demand mismatch dari beberapa industri.
Kita tidak ada satu master plan untuk memenuhi keperluan industri, sama ada dari segi kejuruteraan. Kita juga mendengar bahawa kita menghadapi masalah dari segi graduan perubatan. Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi memberitahu kita – kita memerlukan 4,000 orang graduan perubatan dan kita menawarkan 3,000 setiap tahun. Akan tetapi kita juga ada satu pihak lagi, kita mendengar bahawa ramai rintihan terhadap pelatih-pelatih doktor, doktor kontrak dan sebagainya. Ini menunjukkan satu isu yang serius dari segi perancangan graduan pengajian tinggi.
Bukan itu sahaja, kita juga terdapat rungutan bahawa pelajar undang-undang, tiada universiti di Sabah dan Sarawak yang menawarkan kursus ijazah sarjana muda undang-undang di Borneo. Itu juga satu masalah. Kita harus diversify.
Pandemik COVID-19 telah memberikan impak kepada belanjawan di kampus IPTA dan IPTS. Ada IPTS yang hadapi cabaran kewangan. Saya khuatiri terdapat compromise dari segi kualiti pengajaran apabila IPTS ataupun IPTA mengambil lebih ramai pelajar asing melalui pembelajaran online.
Apakah usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti IPTS dan IPTA, IPTS khasnya yang menghadapi masalah kewangan yang tutup dalam tempoh 2020 sampai 2021. Bagaimana Kementerian Pengajian Tinggi dapat membantu pelajar-pelajar ini?
Pelantikan politik di institusi IPTA. Kita telah mendapati bahawa terdapat beberapa pelantikan yang sebelum ini walaupun mereka sudah meletak jawatan, Ketua UMNO bahagian Balik Pulau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia. Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah. Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Hajah Dr. Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayib sebagai ahli Lembaga Pengarah UMS, walaupun mereka sudah meletak jawatan baru-baru ini.
Kenapa begitu banyak pelantikan politik di IPTA yang telah dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi?
Saya juga ingin menanyakan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan bilakah— walaupun kita sudah pinda pada tahun 2018 di mana Seksyen 15 (2)(c) telah dilakukan pindaan untuk memberikan ruang demokrasi yang lebih besar dengan tidak melarang pelajar daripada menyertai aktiviti parti politik dalam kampus universiti awam dan juga universiti swasta.
Apakah pindaan yang seterusnya yang telah diumumkan di Parlimen dan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, satu akta yang baharu untuk memberikan kebebasan akademik, kebebasan berfikir, kebebasan bersuara untuk memastikan kampus kita mempunyai dinamik, progresif dengan daya maju.
Saya ingin menanyakan terhadap pembaharuan undang-undang kolej dan universiti tersebut.
Terima kasih Tuan Pengerusi.
No comments:
Post a Comment